Make your own free website on Tripod.com

REHLAH TARBAWIYYAH

HOME | Mimbar | Siapa | Contact | Artikel | Tafsir | Tetamu | FOKUS

Tafsir Fi Zilalul Qur'an

young_girl.jpg

InsyaAllah dalam ruangan ini akan di bentangkan petikan dari tafsir Fi Zilalul Qur'an.

 

MUQADDIMAH

23 Jun 2005

 

Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu keni’matan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

 

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi ni’mat yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.

 

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?

 

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?

 

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat meni’mati kefahaman yang sempurna dan meliputi, tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap matlamat seluruh alam alwujud dan terhadap matlamat kewujudan manusia itu sendiri. Kemudian aku bandingkan dengan kefahaman-kefahaman dan tanggapan jahiliyah yang dihayati oleh umat manusia di Timur dan di Barat, di Utara dan di Selatan. Kemudian aku bertanya: Mengapa manusia sanggup hidup dalam paya yang busuk, di tahap yang amat rendah dan di dalam gelap gelita kesesatan yang menghitam itu, sedangkan mereka mempunyai padangpadang yang bersih, tempat-tempat yang tinggi dan cahaya yang terang benderang?

 

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an, dan di sana aku dapat merasa adanya keseimbangan yang indah di antara harakat manusia seperti yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah.

 

Kemudian aku melihat keadaan simpang-siur yang dialami oleh umat manusia yang telah menyimpang dan undang-undang alam buana, juga melihat percanggahan di antara pengajaran-pengajaran yang merosak dan jahat yang diajarkan kepada mereka dengan fitrah semulajadi mereka, lalu aku berkata di dalam hatiku: Manakah syaitan yang jahat yang telah memimpin umat manusia ke Neraka ini? Alangkah ruginya manusia!

 

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspekaspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat keduadua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan. Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’.

 

15. “Hanya kepada Allah jua sujudnya sekalian penghuni langit dan bumi sama ada dengan sukarela atau terpaksa dan bayang bayang mereka (juga turut sujud) di waktu pagi dan petang.”

(Surah ar-Ra’d)

 

44 . “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah dan tiada suatu kejadian pun melainkan seluruhnya bertasbih memuji Allah.”

(Surah al-Isra’)

 

Manakah kerehatan, keselesaan, kemesraan dan kepercayaan (yang lebih besar) dari kerehatan, keselesaan kemesraan dan kepercayaan, yang dicurahkan ke dalam hati kita oleh kefahaman yang syumul, sempurna, luas dan betul ini?

 

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat manusia jauh lebih mulia dari segala penghargaan dan penilaian terhadap mereka yang dikenali mereka dahulu dan kemudiannya. Manusia telah menjadi insan dengan tiupan roh ciptaan Allah:

 

29. “Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan padanya roh ciptaan-Ku, maka rebahkanlah diri kamu sujud kepada-Nya.”

(Surah al-Hijr)

Dan dengan tiupan roh inilah manusia dilantik menjadi khalifah di bumi:

 

30. “Dan (kenangilah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhya Aku hendak melantik khalifah di muka bumi.”

(Surah al-Baqarah)

 

Dan segala apa yang ada di bumi ini adalah ditundukkan untuk faedah manusia:

 

29. “Dialah yang telah menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di bumi”

(Surah al-Baqarah)

 

Oleh sebab manusia mempunyai darjah kemuliaan dan ketinggian yang seluhur ini, maka Allah telah menjadikan tali hubungan yang mengikat umat manusia itu ialah tali hubungan yang diambil dari tiupan ilahi yang mulia, iaitu tali hubungan ‘aqidah kerana Allah. Oleh itu ‘aqidah seseorang Mu’min merupakan tanahairnya, kaumnya dan keluarganya dan di atas ‘aqidah inilah umat manusia harus bersatu padu bukannya seperti haiwan yang berpadu kerana rumput, kerana padang ragut, kerana kumpulan dan kerana pagar.

 

Orang yang beriman mempunyai keturunan yang amat tua yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh. Dia adalah salah seorang dari angkatan manusia yang mulia yang dipimpin oleh para rasul yang mulia, iaitu Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’kub, Yusuf, Musa, ‘Isa dan Muhammad alayhimus-salam.

 

92. “Dan sesungguhnya umat (para anbia’) ini adalah umat kamu iaitu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Oleh itu sembahlah Aku.”

(Surah al-Anbia’)

 

Angkatan manusia yang mulia yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat lama itu menghadapi — seperti yang tergambar di bawah bayangan al-Qur’an — keadaan-keadaan yang serupa, krisis-krisis yang serupa dan pengalaman-pengalaman yang serupa di sepanjang zaman di berbagai-bagai tempat dan di kalangan berbagai-bagai kaum. Angkatan itu menghadapi kesesatan, kebutaan, kezaliman, hawa nafsu yang liar, penindasan, kekejaman, ancaman dan pengusiran, tetapi ia terus mara menyusuri jalannya dengan langkah-langkah yang tetap, dengan hati nurani yang tenteram, dengan kepercayaan dan harapan yang penuh terhadap pertolongan Allah dengan hati yang menunggu-nunggu di setiap saat ketibaan janji Allah yang benar:

 

13 - 14 “Dan orang-orang kafir itu berkata kepada rasul-rasul mereka: Kami tetap akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu kembali semula kepada agama kami lalu Allah Tuhan mereka mewahyukan kepada mereka: Sesungguhnya Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang zalim dan Kami tetap akan menempatkan kamu di negeri itu selepas (kebinasaan) mereka. (Janji) yang sedemikian adalah untuk orang-orang yang takut kepada maqam-Ku dan takut kepada janji azab-Ku.”

(Surah Ibrahim)

 

Itulah sikap yang sama, pengalaman yang sama, ancaman yang sama, keyakinan yang sama dan janji yang sama kepada angkatan iman yang mulia, juga nasib kesudahan yang sama yang ditunggu-tunggu oleh para Mu’min di akhir perjalanan mereka semasa mereka menerima penindasan dan ancaman.

 

Di bawah bayangan al-Qur’an juga aku dapat mempelajari bahawa di dalam alam al-wujud ini tiada ruang bagi kebetulan yang membuta tuli dan bagi kejadian-kejadian luar dugaan yang mendadak. Kerana:

 

49. “Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi”

(Surah al-Qamar)

2. “Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”

(Surah al-Furqan)

 

Setiap perkara dan kejadian ada hikmatnya, tetapi hikmat itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat:

 

19. “Kamu mungkin bencikan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebajikan yang banyak.”

(Surah an-Nisa’)

 

216. “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia lebih buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”

(Surah al-Baqarah)

 

Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah/primisa yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu di samping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri:

 

1. “Engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan selepas perceraian itu sesuatu perkara yang lain.”

(Surah at-Talaq)

 

30. “Dan tidaklah kamu menghendaki kecuali bila dikehendaki Allah.”

(Surah al-Insan)

 

Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijahnatijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan:

 

268. “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan kejahatan. sedangkan Allah menjanjikan kamu dengan keampunan dan limpah kurnia dari-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengurniaan-Nya dan Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah)

 

Oleh sebab itulah aku hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan hati yang tenang tenteram dan di sana aku melihat tangan kekuasaan Allah mengendalikan segala peristiwa dan segala perkara. Di sana aku hidup di bawah naungan dan pemeliharaan Allah dan aku benar-benar merasa kesankesan sifatNya yang positif dan aktif:

 

62. “Atau siapakah yang menyahut do’a orang yang berada di dalam kesusahan apabila dia berdo’a kepada-Nya dan menghilangkan kesusahan itu?”

(Surah an-Naml)

 

18. “Dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas sekalian hamba-Nya dan Dialah yang Maha Bijaksana dan Maha Mendalam ilmu-Nya.”

(Surah al-An’am)

 

21. “Dan Allah Itu berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

(Surah Yusuf)

 

24. “Dan ketahuilah bahawa Allah berkuasa menghalangkan di antara seseorang dengan hatinya.”

(Surah al-Anfal)

107. “(Allah) Maha Berkuasa melaksanakan segala apa yang dikehendakiNya.”

(Surah Hud)

 

2 - 3. “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia mengadakan jalan keluar untuknya dan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka sangkakannya dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah Dia akan memberi pertolongan yang cukup kepadanya. Sesungguhnya Allah berkuasa melaksanakan segala urusan-Nya.”

 (Surah at-Talaq)

 

56. “Tiada seekor binatang pun melainkan Dialah (Allah) yang memegang ubun-ubunnya.”

(Surah Hud)

 

36. “Bukankah Allah itu cukup untuk melindungi hamba-Nya? Sedangkan mereka menakut-nakutkan engkau dengan sembahan-sembahan yang lain dari Allah.”

(Surah az-Zumar)

 

18. “Sesiapa yang telah dihinakan Allah, maka tiada siapapun lagi yang dapat memuliakannya.”

(Surah al-Haj)

 

33. “Sesiapa yang telah disesatkan Allah, maka tiada siapa lagi yang dapat memberi hidayat kepadanya.”

(Surah ar-Rad)

 

Sebenarnya alam al-wujud ini tidaklah sekali-kali diserahkan kepada undang-undang otomatik yang membuta tuli, malah di sebalik undangundang itu selalunya wujud iradat yang merancang dan masyi’ah yang bebas. Allah mencipta dan memilih apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Di samping itu aku juga belajar bahawa tangan qudrat Allah sentiasa bekerja, tetapi ia bekerja mengikut caranya yang tersendiri. Kita tidak boleh menggesa supaya dia bertindak segera dan tidak boleh membuat apa-apa cadangan kepada Allah. Sistem hidup yang diatur oleh Allah — sebagaimana yang dapat dilihat di bawah bayangan al-Qur’an — adalah digubal supaya ia dapat bertindak di dalam setiap masyarakat dan di dalam setiap peringkat perkembangan hidup manusia, juga dalam setiap keadaan jiwa umat manusia yang sama. Sistem ini digubal untuk manusia yang hidup di bumi ini dengan mengambil kira fitrah manusia, tenaga-tenaga, bakat-bakat semulajadinya, kekuatan dan kelemahannya, juga mengambil kira keadaankeadaannya yang berubah yang dialaminya. Sistem itu tidak sekali-kali menaruh sangkaan yang buruk terhadap makhluk insan ini lalu memperkecil-kecilkan peranannya atau mensia-siakan nilainya dalam apa sahaja bentuk hidupnya sama ada dengan sifatnya sebagai individu atau sebagai anggota di dalam kelompok. Begitu juga sistem ini tidak sekali-kali mengelamun dengan daya khayal lalu mengangkatkan makhluk insan ini terlalu tinggi hingga mengatasi darjatnya, mengatasi tenaga kemampuannya dan mengatasi tugasnya yang dijadikan Allah ketika ia diciptakan. Dan dalam dua keadaan ini sistem ini juga tidak mengandaikan bahawa asas-asas fitrah makhluk insan ini adalah asas-asas yang dangkal yang hanya wujud dengan kuasa undang-undang atau boleh dihapuskan dengan hujung pena sahaja, malah makhluk insan ini dengan fitrah semulajadinya, dengan kecenderungan dan bakat-bakat semulajadinya adalah dipimpin oleh sistem hidup ilahi ini untuk mengangkatnya kepada setinggi darjah kesempurnaan yang telah ditentukan kepadanya, sesuai dengan kejadian dan tugasnya dan untuk menghormati dirinya, fitrah semulajadinya dan nilai-nilainya apabila ia memimpinnya di jalan kesempurnaan menuju kepada Allah. Oleh sebab itulah sistem hidup Ilahi ini diciptakan untuk jangka waktu yang amat panjang yang hanya diketahui Allah yang menciptakan insan dan menurunkan al-Qur’an ini sahaja. Dan oleh sebab itulah ia tidak bertindak sewenang-wenang dan terburu-buru dalam usaha mencapai matlamatnya yang tinggi dari sistem ini. Masa di hadapannya terbuka luas tidak terbatas dengan umur individu. Dia tidak didorong oleh keinginan yang fana dan kebimbangan takut mati sebelum tercapai matlamatnya yang jauh sebagaimana yang berlaku kepada pejuang-pejuang isme-isme bumi yang bertindak sewenang-wenang dalam satu generasi dan bertindak melampaui fitrah semulajadi yang berjalan dengan langkah-langkah yang seimbang dan tenang kerana mereka tidak sabar untuk berjalan dengan langkah-langkah yang seimbang dan tenang, dan dalam perjalanan dan perjuangan mereka yang sewenang-wenang itulah berlakunya pembunuhan dan pertumpahan darah, runtuhnya nilai dan tercetusnya huru-hara dan kacau-bilau, kemudian

pada akhirnya mereka pun hancur dan isme-isme bikinan mereka juga turut hancur di bawah pukulan tukul-tukul fitrah semulajadi yang tidak sanggup ditanggung oleh isme-isme yang sewenang-wenang. Adapun Islam ia tetap berjalan dengan lemah-lembut memimpin fitrah manusia, ia menolak di sini dan menahan di sana, dan ia membetul bila menyeleweng, tetapi ia tidak bertindak memecah atau menghancurkan fitrah manusia. Ia tetap sabar melayaninya, iaitu ia sabar dengan kesabaran seseorang yang arif, bijak dan yakin dengan matlamat yang telah ditetapkan itu. Jika tidak dapat dicapai alam pusingan pertama diusahakan pula dalam pusingan yang kedua atau ketiga atau ke sepuluh atau ke seratus atau ke seribu. Masa masih lanjut dan matlamat cukup terang dan jalan menuju ke matlamat yang agung itu amat panjang. Jika pokok yang tinggi itu tumbuh dan akar-akarnya bertunjang teguh di dalam bumi, dahan-dahannya mencabang panjang dan merimbun tebal, maka begitulah juga Islam, ia tumbuh dan subur perlahan-lahan, lambat dan tenang dan ia selama-lamanya mengambil bentuk yang dikehendaki oleh Allah. Sesuatu tanaman itu kadang-kadang ditimbus pasir, kadang-kadang setengahnya dimakan ulat dan kadang-kadang kering tidak disirami air dan kadang-kadang tenggelam dalam air siraman, tetapi peladang yang arif dan bijak tahu bahawa tanaman itu tetap hidup dan subur dan ia akan dapat mengatasi segala penyakitnya dalam masa yang panjang itu. Oleh sebab itulah ia tidak bertindak sewenang-wenang dan tidak resah dan gelisah dan tidak cuba mematangkannya dengan cara-cara yang lain dari cara-cara fitrah yang tenang, lapang dada dan mesra, itulah cara peraturan Ilahi di seluruh alam al-wujud ini:

 

23. “Dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan di dalam undang undang Allah.”

(Surah al-Fath)

 

Al-Haq kebenaran mengikut sistem Ilahi ini merupakan sesuatu yang hakiki dan tulen dalam binaan alam al-wujud ini. Ia bukannya sesuatu yang wujud secara mendadak dan sepintas lalu dan bukannya sesuatu yang wujud secara kebetulan dan tidak disengajakan. Allah S.W.T. itulah yang benar/al-Haq dan kewujudan Allah Ta’ala inilah segala makhluk yang ada mengambil kewujudannya:

 

30. “Yang demikian ialah kerana Allah itulah yang benar/al-Haq dan segala apa yang mereka sembah selain dari-Nya itulah yang palsu dan Allah itulah Tuhan Yang Maha Tinggi dan Maha Besar.”

(Surah Luqman)

Allah telah menciptakan alam buana ini dengan kebenaran/al-Haq dan tidak bercampur-aduk dengan kebatilan dan kepalsuan:

 

5. “Allah tidak menciptakan semuanya itu melainkan dengan kebenaran/al-Haq.”

(Surah Yunus)

191. “Wahai Tuhanku! Tiadalah Engkau ciptakan semuanya ini sebagai palsu, Maha Sucilah Engkau!”

(Surah Ali-Imran)

 

Kebenaran itulah yang menjadi tapak asas alam al-wujud ini dan apabila ia menyeleweng darinya ia akan rosak dan musnah:

 

71. “Jika kebenaran itu mengikut hawa nafsu mereka nescaya musnahlah langit dan bumi dan penghuni-penghuninya.”

(Surah al-Mu’minun)

Oleh sebab itulah kebenaran pasti menang dan kebatilan dan kepalsuan pasti musnah. Walaupun keadaan-keadaan yang zahir nampaknya tidak begitu, namun kebenaran akan tetap muncul dengan begitu ketara:

 

18. “Malah Kami lontarkan kebenaran ke atas kepalsuan lalu ia mengalahkannya dan tiba-tiba kepalsuan itu terus lenyap.”

(Surah al-Anbia’)

 

Kebaikan dan kebagusan juga (mengikut sistem Ilahi) merupakan sesuatu yang tulen sama seperti kebenaran. Ia tetap kekal di bumi ini:

 

17. “Allah telah menurunkan air hujan dari langit lalu mengalirlah air dilembah-lembah menurut sukatannya. Kemudian banjir itu membawa buih-buih yang mengembang dan terapung-apung dan dari logam-logam yang mereka leburkannya di dalam api untuk membuat perhiasan atau barang-barang kegunaan juga terdapat buih-buih yang serupa (dengan buih banjir itu). Demikianlah Allah membuat perbandingan kebenaran dan kepalsuan. Adapun buih, maka ia akan lenyap terbuang di tepi-tepi tebing dan adapun yang berguna kepada manusia, maka ia akan tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah membuat berbagai-bagai perbandingan.”

(Surah Ar-Ra’d)

 

24 - 27. “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah membuat satu perbandingan iaitu kalimat yang baik itu laksana pokok yang baik akar tunjangnya teguh dan dahannya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah-buahnya setiap masa dengan izin Allah. Dan Allah membuat berbagai-bagai perbandingan kepada manusia supaya mereka mendapat pengajaran. Dan bandingan kalimat yang buruk itu laksana pokok yang buruk yang telah dicabut akar umbinya dari muka bumi, ia tidak mempunyai apa-apa keteguhan lagi. Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan dunia dan Akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah melakukan segala apa yang dikehendaki-Nya.”

(Surah Ibrahim)

 

Manakah ketenteraman yang lebih ni’mat dari ketenteraman yang dilahirkan oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah ketenangan yang lebih ni’mat dari ketenangan yang dicurahkan ke dalam hati oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah kepercayaan terhadap kebenaran, kebaikan dan keislahan yang lebih kuat dari kepercayaan ini? Dan manakah suatu kekuatan dan keunggulan yang mengatasi realiti hidup yang kecil ini yang dicurahkan ke dalam hati nurani oleh kefahaman dan tanggapan ini?

 

Masa penghayatanku di bawah bayangan al-Qur’an itu berakhir dengan satu keyakinan yang teguh dan tegas, iaitu dunia ini tidak akan mencapai kebaikan dan umat manusia tidak akan mencapai kerehatan, ketenteraman, ketinggian, keberkatan, kesucian dan keselarasan dengan undang-undang alam buana dan fitrah hidup yang suci melainkan dengan kembali kepada Allah.

 

Perkembalian kepada Allah itu — sebagaimana yang tergambar di bawah bayangan al-Quran — hanya mempunyai satu bentuk dari satu jalan sahaja, tiada jalan yang lain darinya — iaitu mengembalikan seluruh kehidupan ini kepada sistem hidup yang diatur oleh Allah untuk umat manusia sebagaimana digaris oleh-Nya di dalam al-Qur’anul-Karim.

 

Perkembalian itu bererti penghakiman kepada al-Quran dalam seluruh urusan kehidupan mereka. Jika tidak, kerosakan akan berkecamuk di dunia ini, manusia akan terhumban ke dalam kecelakaan, akan jatuh terbalik ke dalam lumpur dan ke dalam jahiliyah yang menyembah hawa nafsu selain Allah itu:

 

50. “Jika mereka tidak menyambut seruanmu, maka ketahuilah bahawa mereka hanya mengikut hawa nafsu mereka sahaja dan siapakah yang lebih sesat dari orang yang mengikut hawa nafsunya tanpa hidayat dari Allah? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat kepada kaum yang zalim.”

(Surah al-Qasas)

 

Berhakimkan kepada sistem hidup yang diatur oleh Allah dalam kitab sucinya itu bukanlah suatu perkara sunat, bukan perkara sukarela dan bukan perkara pilihan, malah ia adalah perkara beriman atau tidak beriman:

 

36. “Tidaklah wajar bagi lelaki yang Mu’min dan perempuan yang Mu’min apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan sesuatu keputusan, membuat pilihan yang lain dalam urusan mereka.’

(Surah al-Ahzab)

 

18 - 19. “Kemudian Kami jadikan engkau tegak di atas syari’at dan perintah-perintah Allah. Oleh kerana itu ikutlah syari’at ini dan janganlah engkau ikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya mereka tidak dapat menolong engkau sedikit pun dan azab Allah dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu menjadi pelindungpelindung terhadap satu sama lain dan Allah adalah Pelindung orangorang yang bertaqwa.”

(Surah al-Jathiah)

 

Perkara ini adalah suatu perkara yang amat serius. Ia adalah perkara aqidah dan asasnya lagi. Ia adalah perkara kebahagiaan atau kecelakaan manusia.

 

Umat manusia yang diciptakan Allah ini tidak dapat dibuka pintu fitrah yang tertutup itu melainkan dengan anak-anak kunci dari ciptaan Allah itu dan penyakit-penyakitnya tidak boleh diubati melainkan dengan penawar yang dicipta oleh Allah S.W.T. Allah telah menyediakan di dalam sistem hidup yang diaturkan oleh-Nya itu anak-anak kunci untuk membuka segala pintu yang tertutup dan penawar untuk mengubatkan segala penyakit:

 

82. “Dan Kami turunkan dari al-Qur’an itu sesuatu yang menjadi rahmat kepada orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Isra)

9. “Sesungguhnya aI-Qur’an ini memberi hidayat ke jalan yang amat lurus.”

(Surah al-Isra)

 

Tetapi malangnya umat manusia tidak mahu mengembalikan ibu kunci kepada tukang pembuatnya dan tidak mahu membawa orang sakit kepada penciptanya. Mereka tidak bertindak dalam urusan diri mereka, kemanusiaan mereka, kebahagian atau kecelakaan mereka seperti mereka bertindak dalam urusan mesin-mesin dan alat-alat murah yang digunakan mereka dalam keperluan-keperluan seharian mereka yang kecil. Mereka tahu jika mesin-mesin dan alat-alat itu rosak mereka akan memanggil mekanik hilang yang membuat mesin itu untuk memperbaikinya, tetapi mereka tidak menggunakan peraturan ini dalam usaha membetulkan manusia sendiri, iaitu dengan mengembalikan mereka kepada kilang yang mengeluarkan mereka dan tidak meminta petua dari Allah Pencipta yang telah mengadakan mesin-mesin manusia yang mengkagumkan ini, iaitu mesin manusia yang besar, mulia, halus dan seni, mesin yang tidak diketahui liku-liku dan pintupintunya melainkan oleh tukang yang membuatnya sendiri:

 

13 - 14. “Sesungguhnya Allah amat mengetahui segala isi hati. Apakah Allah yang telah menciptakan (kamu) tidak mengetahui (isi hati kamu), sedangkan Dialah Yang Maha Halus dan Maha Mendalam Ilmu-Nya”

(Surah al-Mulk)

 

Dari sinilah kecelakaan menimpa umat manusia yang sesat, umat manusia yang sengsara dan bingung, umat manusia yang tidak akan bertemu dengan petunjuk dan hidayat, kerehatan dan kebahagiaan melainkan apabila fitrah mereka (yang rosak itu) dikembalikan kepada Penciptanya yang Maha Besar, sebagaimana mesin-mesin yang murah itu dikembalikan kepada tukang-tukangnya yang kecil.

 

Tindakan mengenepikan Islam dari menerajui kepimpinan manusia merupakan satu peristiwa yang amat besar di dalam sejarah umat manusia dan satu malapetaka yang menghancurkan kehidupan mereka, iaitu malapetaka yang tidak ada tandingannya sejauh yang diketahui manusia yang telah membawa berbagai-bagai bencana yang dialami mereka. Islam telah menerima teraju kepimpinan manusia setelah dunia ini rosak, setelah kehidupan dan kepimpinan-kepimpinan manusia itu rosak dan setelah umat manusia mengalami berbagai-bagai kecelakaan dari kepimpinan yang rosak dan setelah kerosakan itu lahir (merata-rata):

 

41. “Kerosakan telah lahir di daratan dan lautan kerana perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan manusia.”

(Surah ar-Rum)

 

Islam telah memegang teraju kepimpinan manusia dengan al-Qur’an dan dengan kefahaman baru yang dikemukakan oleh al-Qur’an dan dengan syari’at yang diambil dari kefahaman ini. Itulah hari lahir yang baru bagi umat manusia, iaitu hari lahir yang lebih besar dari segi hakikatnya dari hari lahir kewujudan mereka, kerana al-Qur’an telah membentuk satu kefahaman yang baru kepada manusia, iaitu kefahaman terhadap alam al-wujud, kehidupan, nilai-nilai dan peraturan-peraturan hidup. Begitu juga Islam telah mewujudkan satu kenyataan realiti kemasyarakatan yang unik yang tidak dapat difikirkan oleh mereka sebelum ia dibentuk oleh al-Qur’an. Kenyataan/realiti itu begitu bersih dan indah, begitu agung dan luhur, begitu mudah dan senang, begitu realistik dan positif, begitu seimbang dan selaras sehingga tidak pernah terlintas di dalam hati manusia, jika tidak kerana Allah telah berkehendak menjadikannya untuk manusia dan telah mewujudkannya dalam hidup mereka, iaitu di dalam bayangan al-Qur’an, di dalam sistem hidup al-Qur’an dan di dalam syari’at al-Qur’an.

 

Kemudian berlaku malapetaka yang telah menghancurkan manusia itu, di mana Islam diketepikan dari teraju kepimpinan manusia. Ia diketepikan supaya teraju kepimpinan itu dipegang sekali lagi oleh jahiliyah dalam salah satu bentuknya yang begitu banyak itu, iaitu dalam bentuk pemikir kebendaan yang dikagumi oleh umat manusia pada hari ini sebagaimana kanak-kanak yang kecil mengkagumi pakaian-pakaian dan mainan-mainan yang cantik dan beraneka warna.

 

Di sana ada satu kumpulan penyesat dan penipu yang menjadi musuh umat manusia. Mereka meletak sistem hidup ilahi di satu daun neraca dan meletakkan penciptaan dan kemajuan manusia di alam kebendaan di daun neraca yang satu lagi, kemudian mereka berkata kepada manusia: Pilihlah di antara dua ini iaitu hidup dengan sistem ilahi dan meninggalkan segala ciptaan dan kemajuan yang telah dicapai manusia di alam kebendaan atau meni’mati hasil-hasil ilmu pengetahuan manusia dan meninggalkan sistem hidup ilahi ini adalah satu penipuan dan pengeliruan yang keji, kerana kedudukan persoalan ini sama sekali bukannya begitu, kerana sistem hidup Ilahi sama sekali tidak memusuhi penciptaan dan kemajuan yang dicapai manusia, malah sistem hidup Ilahilah yang menggerakkan daya penciptaan dan kemajuan itu dan membimbingnya ke jalan yang betul supaya manusia dapat melaksanakan tugas khalifah di bumi ini iaitu tugas yang telah dikurniakan Allah kepada mereka di samping membekalkan mereka dengan bakat-bakat kebolehan dan tenaga-tenaga yang cukup untuk melaksanakan tugas yang dibebankan ke atas mereka. Begitu juga Allah telah menundukkan kepada mereka segala undang-undang alam yang dapat membantu mereka melaksanakan tugas itu, di samping menyelaraskan di antara kejadian mereka dengan kejadian alam buana ini supaya mereka dapat hidup, bekerja dan mencipta kemajuan dan kejayaan dengan syarat penciptaan itu sendiri menjadi ibadat kepada Allah dan menjadi salah satu sarana pernyataan kesyukuran kepada Allah terhadap ni’mat-ni’matnya yang besar dan pernyataan mematuhi syarat Allah dalam menjalani tanggungan khalifah itu, iaitu bekerja dan bergerak dalam lingkungan yang diredhai Allah. Kumpulan penyesat yang meletakkan sistem Ilahi dalam satu daun neraca dan meletak kemajuan manusia dalam satu neraca sebelah lagi itu adalah kumpulan yang mempunyai niat yang jahat. Mereka adalah orang-orang jahat yang memburu umat manusia yang letih lesu dan bingung setiap kali ia merasa penat dan kesesatan dan kebingungan dan setiap kali ia ingin mendengar suara penasihat dan setiap kali ia ingin pulang dari padang kesesatan dan mencari ketenteraman di bawah perlindungan Allah.

 

Di sana ada lagi satu kumpulan yang lain. Mereka bukan tidak mempunyai niat yang baik, tetapi mereka tidak mempunyai kesedaran yang menyeluruh dan kefahaman yang mendalam. Mereka terlalu kagum dengan kuasa-kuasa alam dan undang-undang alam, mereka terlalu tertarik kepada pencapaian-pencapaian manusia di alam kebendaan. Perasaan ini telah mendorong mereka memisahkan di antara kuasa-kuasa alam dengan nilai-nilai keimanan, tindakannya dan kesan-kesannya di alam buana dan realiti kehidupan. Mereka menentukan kepada undang-undang alam satu bidang khas dan kepada nilai keimanan satu bidang khas yang lain pula, kerana menurut hemat mereka, undang-undang alam itu berjalan mengikut jalannya yang tersendiri tanpa terpengaruh kepada nilai-nilai keimanan, dan ia tetap melahirkan natijah-natijahnya sama ada manusia beriman atau kafir, sama ada mereka mengikut sistem hidup Allah atau menentangnya, sama ada mereka menghukum dengan syari’at Allah atau dengan hawa nafsu manusia.

 

Fikiran ini adalah karut, kerana ia memisahkan di antara dua jenis undang-undang Allah, sedangkan pada hakikatnya, kedua-duanya tidak pernah terpisah, kerana nilai-nilai keimanan ini merupakan sebahagian dari undang-undang Allah di alam buana ini. Ia sama seperti undang-undang alam dan natijah-natijahnya mempunyai hubungan yang rapat dan saling merangkumi satu sama lain. Tiada alasan dan sebab untuk memisahkan di antara kedua undang-undang itu mengikut perasaan dan kefahaman seseorang Mu’min. Inilah kefahaman yang betul yang dibentuk oleh al-Qur’an dalam hati Mu’min yang hidup di bawah bayangan al-Qur’an. Al-Quran membentuk kefahaman ini ketika ia memperkatakan tentang kaum Ahlil-Kitab di zaman lampau yang telah menyeleweng dari ajaran-ajaran (kitab-kitab suci mereka) dan bagaimana kesan penyelewengan ini kepada

mereka:

 

65 - 66. “Dan sekiranya kaum Ahlil-Kitab itu beriman dan bertaqwa nescaya Kami hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka dan Kami masukkan mereka ke dalam Syurga yang penuh ni’mat. Dan sekiranya mereka menegakkan hukum Taurat dan Injil dan ajaran yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka nescaya mereka akan mendapat makanan yang mewah dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka.”

(Surah al-Ma’idah)

 

Al-Quran membentuk kefahaman itu ketika ia memperkatakan janji Nuh kepada kaumnya:

 

10 - 12. “Dan aku telah menyeru mereka: Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Allah menurunkan hujan yang lebat ke atas kamu dan mengurniakan kepada kamu harta yang banyak dan anak yang ramai dan mengadakan kebun kebun untuk kamu, juga mengadakan sungai-sungai (dalam kebun itu) untuk kamu.”

(Surah Nuh)

Al-Qur’an membentuk kefahaman itu ketika ia menghubungkan kenyataan di alam jiwa dengan kenyataan di alam luar iaitu kenyataan yang merupakan tindakan Allah terhadap mereka:

 

11. “Sesungguhnya Allah tidak mengubahkan keadaan sesuatu kaum hingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.”

(Surah ar-Ra’d)

Beriman kepada Allah, beribadat kepada Allah dengan jujur dan ikhlas dan menegakkan syari’at Allah di bumi ini, semuanya merupakan perlaksanaan undang-undang Allah, iaitu undang-undang yang aktif dan positif yang terbit dari sumber yang sama yang melahirkan undang-undang alam yang kita dapat melihat kesan-kesannya yang nyata dengan hati dan

ujian. Kadang-kadang kita terpengaruh kepada gejala-gejala palsu dan perpisahan undang undang alam buana itu, iaitu ketika kita melihat bahawa mematuhi undang-undang alam boleh membawa manusia kepada kejayaan juga walaupun mereka menentang nilai-nilai keimanan. Kadang-kadang natijah dari gejala perpisahan ini titik ketara di permulaan jalan, tetapi ia tetap ketara pada akhirnya. Inilah yang telah berlaku kepada masyarakat Islam sendiri, di mana garis naiknya bermula dari titik pertemuan undangundang alam dengan nilai-nilai keimanan di dalam hidupnya dan garisan menurun atau jatuhnya bermula dari titik perpisahan di antara keduaduanya.

 

Kemudian masyarakat Islam itu terus jatuh dan menurun apabila sudut perpisahan itu semakin terbuka luas hingga ia terhumban ke tahap yang serendah-rendahnya apabila ia sekaligus mengabaikan undang-undang alam dan nilai-nilai keimanan.

 

Sementara di sebelah lagi tegaknya pula tamadun kebendaan yang wujud hari ini. Tamadun ini berdiri laksana seekor burung yang berkibas dengan sebelah sayap yang amat gagah, sedangkan sayapnya yang sebelah lagi patah. Ia meningkat maju dalam kemajuan kebendaan, tetapi ia jatuh dalam konsep insaniyah dan ia mengalami kegelisahan, kebingungan, penyakit-penyakit jiwa dan saraf yang membimbangkan para cendikiawan di sana jika mereka tidak menemui sistem hidup ciptaan Allah, iaitu satu-satunya sarana pengubatan dan ubat.

 

Syari’at Allah bagi manusia merupakan sebahagian dari undangundang semesta Ilahi di alam ini. Pelaksanaan syari’at ini tentulah mempunyai kesan yang positif dalam menyelaraskan penjalanan manusia dengan perjalanan alam buana. Syari’at itu tiada lain melainkan hasil dari keimanan. Ia tidak tegak sendiri sahaja tanpa akar tunjangnya yang besar. Ia digubal untuk dilaksanakan dalam masyarakat Islam di samping untuk membantu membina masyarakat Islam. Ia bersepadu dengan kefahaman dan tanggapan Islam terhadap alam al-wujud yang besar dan terhadap kewujudan insan, juga bersepadu dengan ketaqwaan yang dilahirkan oleh kefahaman dan tanggapan ini, iaitu ketaqwaan di dalam hati nurani, kebersihan perasaan, kebesaran minat dan cita-cita, ketinggian budi pekerti dan kejujuran perilaku. Demikianlah persepaduan dan keselarasan yang wujud di antara seluruh undang-undang Allah sama ada undang-undang yang kita namakannya sebagai undang-undang alam dan apa yang kita gelarkannya sebagai nilai-nilai keimanan. Semuanya merupakan bahagianbahagian dari undang-undang Allah yang merangkumi alam al-wujud.

 

Manusia juga merupakan salah satu kekuatan dari kekuatan-kekuatan alam al-wujud, tindakannya, kemahuannya, keimanannya, kesolehannya, ibadatnya dan kegiatannya, juga merupakan kekuatan-kekuatan yang mempunyai kesan-kesan positif di alam al-wujud dan berhubung rapat dengan undang-undang Allah yang merangkumi alam al-wujud. Semua kekuatan itu bertindak selaras dan seia sekata. Ia dapat mengeluarkan hasil-hasil yang sempuma apabila ia bertindak sepadu dan selaras, dan akan mengeluarkan kesan-kesan yang merosakkan kehidupan, menyebarkan kecelakaan dan kesengsaraan di kalangan manusia apabila kekuatankekuatan itu bercanggah dan bertentangan satu sama lain:

 

53. “Hal sedemikian kerana Allah tidak sekali-kali mengubahkan sesuatu ni’mat yang telah dikurniakannya kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubahkan apa yang ada pada diri mereka.”

(Surah al-Anfal)

 

Perhubungan dan pertalian itu tersimpul rapat di antara tindakan manusia dengan perasaannya, dan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam lingkungan undang-undang Allah yang merangkumi semua. Tiada siapa yang sanggup menyaran supaya diputuskan perhubungan dan dirosakkan keselarasan dan kesepaduan ini, dan tiada siapa yang sanggup menghalangkan di antara manusia dengan undang-undang Allah yang berkuatkuasa itu melainkan hanya musuh umat manusia yang mengusir mereka dari jalan hidayat. Oleh itu manusia harus berjuang memburu musuh mereka dan menjauhkannya dari jalan menuju kepada Allah Tuhan mereka Yang Maha Mulia.

 

Inilah beberapa fikiran dan kesan-kesan yang diperolehi semasa hidup di bawah bayangan al-Qur’an. Semoga Allah jadikannya petunjuk yang berguna.

 

29. “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah.”

(Surah at-Takwir)

 

Sayyid Qutb

 

SURAH AL IKHLAS (سورة الإخلاص)

 

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

1. Katakanlah (wahai Muhammad) Allah itu Maha Esa.

اللَّهُ الصَّمَدُ

2. Allah itu selama-lamanya Tumpuan seluruh makhluk.

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ

3. Tiada pernah beranak dan tiada pula pernah diperanakkan.

وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

4. Dan tiada siapa pun yang setanding dengan-Nya.

 

 

Surah yang pendek ini menyamai satu pertiga al-Qur'an sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith-hadith yang sohih. Daripada Abu Sa'd, ada seorang mendengar seorang lelaki membaca Qulhuwallahuahad dengan berulang-ulang kali. Pada pagi keesokan ia datang menemui Nabi s.a.w. lalu ia menyebutkan cerita itu kepada beliau seolah-olah ia merasa surah itu sangat sedikit, lalu Nabi s.a.w. berkata: "Demi jiwaku di tanganNya, sesungguhnya surah itu menyamai satu pertiga al-Qur'an." Tiada sesuatu yang aneh dalam sabda Rasulullah s.a.w. ini kerana 'aqidah keesaan Allah yang diperintah kepada Rasul-Nya supaya diisytiharkannya dengan "Qulhuwallahuahad" itu merupakan 'aqidah bagi hati, merupakan pentafsiran bagi 'alam dan merupakan satu sistem bagi kehidupan kerana surah ini mengandungi garis-garis pokok yang amat luas mengenai hakikat agung Islam.

 

1. Katakanlah (wahai Muhammad) Allah itu Maha Esa.

 

Kata-kata "Ahad" lebih halus daripada kata-kata "Wahid", kerana kata-kata Ahad menambahkan kepada kata-kata Wahid pengertian tiada suatu yang lain bersama Allah dan tiada suatu yang setanding dengan Allah. Maksudnya ialah keesaan wujud Allah. Di sana tiada hakikat melainkan hakikat Allah, tiada kewujudan haqiqi melainkan kewujudan Allah. Segala maujud yang lain adalah mengambil kewujudan mereka daripada kewujudan Allah yang haqiqi dan mengambil hakikat mereka daripada hakikat Allah yang sejati. Ia mengertikan keesaan pencipta, tiada pencipta yang lain daripada Allah yang menciptakan segala sesuatu di 'alam ini. Itulah 'aqidah yang tersimpul di hati dan itulah juga pentafsiran bagi 'alam.

 

Apabila pentafsiran itu teguh mantap dan kepercayaan ini jelas dan terang maka bersihlah hati daripada segala kepercayaan yang karut dan daripada segala pergantungan kepada yang lain daripada Zat Allah yang Tunggal dengan hakikat kewujudan dan hakikat penciptaan. Yakni hati itu bersih daripada pergantungan dengan sesuatu yang lain di 'alam al-Wujud ini -- walaupun ia tidak bersih daripada perasaan adanya sesuatu yang lain -- oleh itu tiada hakikat kepada sesuatu kewujudan kecuali hakikat penciptaan bagi iradat Ilahiyah sahaja. Oleh sebab itu tidak ada ertinya hati itu bergantung kepada sesuatu yang tidak mempunyai sebarang hakikat kepada kewujudannya dan sebarang hakikat kepada kudrat penciptaannya.

 

Apabila hati telah bersih daripada segala perasaan terhadap yang lain daripada hakikat Allah yang Tunggal dan bersih daripada pergantungan kepada yang lain daripada hakikat Allah, maka ketika itu ia akan bebas daripada segala belenggu dan ikatan, bebas daripada keinginan yang menjadi

punca berbagai-bagai belenggu dan bebas daripada sebarang ketakutan yang menjadi sumber berbagai-bagai ikatan. Apa lagi yang diingininya sesudah ia menemui Allah, dan siapa lagi yang patut ditakutinya sedangkan di sana tidak ada kuasa penciptaan melainkan bagi Allah sahaja. Apabila mantapnya kepercayaan yang tidak melihat di 'alam ini melainkan hakikat Allah sahaja, maka ia akan melihat hakikat ini pada segala kejadian yang lain yang lahir daripada hakikat itu. Di tahap inilah hati seseorang akan melihat kudrat Allah menguasai segala sesuatu yang dilihatnya dan pada tahap yang lebih tinggi daripada tahap ini tidak nampak sesuatu di 'alam buana ini melainkan hanya Allah, kerana di sana tiada hakikat yang lain yang dilihatnya melainkan hanya hakikat Allah.

 

Begitulah juga ia akan menafikan sebab-sebab (causes) itu sebagai mempunyai kuasa pencipta, malah ia akan memulangkan segala sesuatu,  segala peristiwa dan segala gerak kepada Allah sebagai sebab pertama yang melahirkan semuanya. Inilah hakikat yang amat ditekankan oleh al-Qur'an dalam menetapkan pegangan keimanan. Kerana itu al-Qur'an selamalamanya

menafikan sebab-sebab yang zahir dan menghubungkan segala sesuatu langsung kepada kehendak Allah.

 

17. "Bukan engkau yang memanah ketika engkau memanah tetapi Allahlah

yang memanah."

(Al-Anfal)

 

10. "Tiada kemenangan melainkan dari sisi Allah."

(Al-Anfal)

29. "Dan kamu tidak menentukan kehendak kamu kecuali dikehendaki

Allah."

(At-Takwir)

 

Ayat-ayat lain yang seperti ini memang banyak. Dengan menafikan semua sebab yang zahir dan mengembalikan segala-galanya kepada kehendak Allah yang Tunggal akan tercurahlah rasa ketenteraman dalam hati dan dapatlah ia mengenal matlamat yang tunggal, dengan ia meminta kepada-Nya apabila ia inginkan sesuatu, dan berlindung pada-Nya apabila merasa takut dan bersikap tenang terhadap segala daya pencipta, penggerak, dan pemberi kesan dan terhadap segala sebab yang zahir yang tidak mempunyai hakikat kewujudan sejati. Inilab anak-anak tangga jalan menuju hakikat yang dicuba oleh ahli-ahli tasawuf dan mereka telah ditarik jauh oleh hakikat ini.

 

Ini kerana Islam mahukan manusia menyusuri jalan yang membawa kepada hakikat ini semasa mereka menghadapi realiti kehidupan dengan segala cirinya atau semasa mereka menjalani kehidupan manusia dan memegang khilafah di bumi dengan segala asas dan terasnya, dengan mereka merasa tiada hakikat yang sebenar melainkan hakikat Allah dan tiada kewujudan yang sebenar melainkan kewujudan Allah dan tiada kuasa penciptaan melainkan kuasa penciptaan Allah dan mereka tidak berkehendak kepada jalan yang lain daripada jalan ini.

 

Dari sinilah lahirnya satu sistem hidup yang sempurna yang ditegakkan di atas pentafsiran tadi dan di atas kefahaman, perasaan dan kecenderungan yang ditimbulkan dalam hati seseorang. Itulah satu sistem beribadat kepada Allah yang Tunggal, dengan tiada hakikat bagi kewujudan yang lain, melainkan kewujudan-Nya dan tiada hakikat bagi kudrat penciptaan yang lain melainkan kudrat penciptaan-Nya dan tiada kesan iradat yang lain melainkan iradat-Nya. Itulah satu sistem bertawajjuh kepada Allah yang Tunggal sama ada dalam kegemaran dan ketakutan, sama ada dalam kesenangan dan kesusahan, kerana apalah gunanya bertawajjuh kepada yang lain daripada Allah yang tidak mempunyai kewujudan yang haqiqi? Itulah satu sistem menerima daripada Allah yang Tunggal dalam segala urusan 'aqidah, kepercayaan dan kefahaman nilai-nilai, ukuranukuran, syari'at, undang-undang, kedudukan, peraturan, adab cara dan adab resam.

 

Penerimaan perkara-perkara ini pastilah daripada Allah yang mempunyai kewujudan yang Maha Esa dan hakikat yang tunggal di 'alam realiti dan 'alam hati nurani. Itulah satu sistem bergerak dan bertindak kerana Allah yang Tunggal untuk mencari perdampingan dengan-Nya dan untuk menghindarkan diri daripada rintangan-rintangan dan kekarutan-kekarutan yang menyesatkan sama ada dalam diri sendiri atau di sekelilingnya dari benda-benda dan manusia, dan antaranya ialah rintangan diri sendiri, ikatan kegemaran dan ketakutan kepada sesuatu di 'alam ini. Itulah satu sistem yang menghubungkan antara hati manusia dengan segala makhluk yang lain dengan hubungan kasih sayang, saling simpati dan seia sekata, kerana bukanlah maksud melepaskan diri daripada belenggu-belenggu kejadian 'alam ini ialah menaruh perasaan benci terhadapnya dan lari daripada berurusan dengannya, kerana semua makhluk itu adalah daripada ciptaan Allah. Semuanya mengambil kewujudannya daripada kewujudan Allah dan semuanya dilimpahkan dengan nur hakikat Allah.

 

Oleh sebab itu seluruh makhluk itu harus disayangi belaka kerana seluruhnya merupakan pemberian dan kurnia daripada Allah yang amat dikasihi. Itulah satu sistem yang luhur dan bebas, dengan bumi ini dipandang sebagai sebuah 'alam yang kecil, kehidupan dunia sebuah kehidupan yang pendek dan keni'matan hidup dunia juga suatu keni'matan yang sedikit, dan usaha mencapai kebebasan daripada rintangan-rintangan dan kekotoran-kekotoran dunia merupakan matlamat dan cita-cita (orang yang beriman), tetapi kebebasan dalam Islam bukan bererti pemencilan diri, bukan bererti pencuaian atau pengabaian dan bukan pula bererti benci dan lari, malah ia bererti percubaan dan perjuangan yang berterusan untuk memajukan manusia seluruhnya dan untuk membebaskan kehidupan mereka seluruhnya, kerana itu manusia diserahkan teraju khilafah dan kepimpinan dengan segala tugas dan kewajipannya, serta menegakkan kebebasan dengan segala nilainya. Pembebasan diri dengan bertapa di rumah-rumah ibadat merupakan

satu perkara yang mudah, tetapi Islam tidak mahu cara itu, kerana tugas menegakkan khilafah di bumi dan tugas memimpin umat manusia merupakan sebahagian daripada sistem agama Allah untuk pembebasan manusia. Ia merupakan satu cara yang amat sukar, tetapi itulah satu-satunya cara yang dapat menegakkan insaniyah manusia dan menjamin kemenangan tiupan roh yang luhur dalam dirinya.

 

Pendeknya kebebasan dalam Islam ialah kebebasan roh manusia menuju kepada Allah selaku sumber yang melahirkannya. Ia juga bererti  perjuangan manusia untuk menegakkan hakikat rohnya yang luhur, dan hakikat roh inilah yang bekerja dalam bidang yang dipilih Allah penciptanya yang Maha Bijaksana. Kerana ini semua, maka da'wah Islam di tahapnya yang pertama ditumpukan kepada usaha menegakkan hakikat Tauhid dalam hati manusia dengan gambaran seperti ini kerana konsep Tauhid dengan gambaran seperti ini merupakan 'aqidah bagi hati, pentafsiran bagi 'alam dan sistem bagi kehidupan. Tauhid bukan semata-mata kata-kata yang diucapkan dengan lidah, bukan suatu gambaran yang mantap dalam hati, malah Tauhid merupakan keseluruhan agama, dan segala perincian dan cabang-cabang yang lain darinya hanya merupakan hasil tabi'i daripada kemantapan hakikat Tauhid dalam hati manusia.

 

Penyelewengan-penyelewengan yang menimpa umat-umat Ahlil Kitab zaman dahulu yang telah merosakkan 'aqidah, pemikiran dan kehidupan mereka adalah pada mulanya berlaku akibat daripada terhapusnya gambaran Tauhid yang murni dan kemudian diikuti pula oleh segala penyelewengan yang lain. Ciri yang membezakan gambaran Tauhid dalam 'aqidah Islam ialah cirinya yang meresap dalam seluruh kehidupan dan seluruh kehidupan itu ditegakkan di atas asasnya. Ia menjadi tapak bagi semua program amali dalam kehidupan, kesan-kesannya kelihatan jelas dalam bidang perundangan sebagaimana kelihatan jelas dalam bidang kepercayaan. Kesan pertama daripada 'aqidah Tauhid ialah Syari'at Allah hendaklah merupakan undangundang yang tunggal yang memerintah semua urusan kehidupan.

 

Apabila kesan ini tidak wujud bererti 'aqidah Tauhid belum lagi berdiri teguh, kerana itu 'aqidah Tauhid harus berdiri teguh dan melahirkan kesan-kesannya dalam segenap bidang hidup.

 

Maksud Allah itu Maha Esa ialah Allah itu satu-satunya tumpuan seluruh makhluk, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tiada siapa yang setanding dengan-Nya. Al-Qur'an menyebut butiran-butiran ini untuk menambahkan kejelasan.

 

2. Allah itu selama-lamanya Tumpuan seluruh makhluk.

 

Pengertian "as-Samad" dari segi bahasa ialah tuan penghulu yang dituju orang ramai, dan tiada sesuatu urusan yang diputuskan melainkan dengam kebenarannya, Allah itulah Tuan yang sebenar tiada Tuan yang lain daripadaNya. Dia adalah Tunggal dalam ketuhanan-Nya dan semua yang lain adalah hamba-Nya belaka. Dialah sahaja yang ditujukan untuk memenuhi hajat-hajat dan Dialah sahaja yang menyahut seruan hamba-hamba- Nya yang mempunyai hajat. Dialah sahaja yang memutuskan segala perkara dengan keizinan-Nya dan tiada siapa yang turut membuat keputusan bersama-sama-Nya.

 

3. Tiada pernah beranak dan tiada pula pernah diperanakkan.

 

Maksudnya ialah hakikat Allah itu adalah hakikat yang wujud abadi dan azali lagi. Hakikat Allah tidak dipengaruhi oleh keadaan demi keadaan. Dia mempunyai sifat yang sempurna dalam segala keadaan. Makna peranakan ialah kelahiran dan lanjutan keturunan. Peranakan merupakan satu kewujudan yang lebih selepas kurang atau selepas tidak ada dan semuanya ini mustahil pada Allah. Peranakan juga memerlukan isteri yang sama kejadian. Ini juga mustahil pada Allah kerana itu sifat Maha Esa atau "Ahadun" itu sendiri mengandungi penolakan adanya ibu bapa dan anakanak.

 

4. Dan tiada siapa pun yang setanding dengan-Nya.

 

Maksudnya ialah tiada siapa yang serupa dan setanding dengan-Nya sama ada dari segi hakikat wujud atau dari segi hakikat kuasa penciptaan atau dari segi mana-mana sifat daripada sifat-sifat Zatiyah-Nya. Pengertian ayat ini juga menegakkan konsep "Ahadu", malah menguat dan mentafsirkannya dengan terperinci, iaitu konsep keesaan Allah menolak kepercayaan wujud Dua Tuhan yang mendakwa bahawa Allah itu Tuhan kebaikan dan di sana ada lagi satu tuhan yang lain iaitu tuhan kejahatan yang menentang Allah dan menentang kebaikan-kebaikan-Nya dan menyebarkan kerosakan di muka bumi. 'Aqidah Dua Tuhan yang paling masyhur ialah 'aqidah orang Farsi yang percaya ada tuhan nur dan ada tuhan gelap.

 

Kepercayaan ini terkenal di selatan Semenanjung Tanah Arab di mana pernah tegaknya kerajaan dan kekuasaan Farsi.

 

Surah ini menegak dan menjelaskan 'aqidah Tauhid Islam sebagaimana Surah al-Kafirun menafikan sebarang keserupaan atau menafikan wujudnya titik pertemuan antara 'aqidah Tauhid dengan 'aqidah syirik. Kedua-dua surah ini memperkatakan hakikat Tauhid dari satu sudut yang tertentu. Rasulullah s.a.w. biasanya memulakan harinya -- dalam solat Sunat Fajar -- dengan membaca dua surah ini dan amalan ini mempunyai makna dan tujuannya yang besar.

 

14 Jun 2005

 



اجلس بنا نؤمن ساعة

Para mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal soleh dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.
 
Oleh itu menjadi satu keperluan untuk kita duduk bersama di dalam suasana tarbawi (yang mendidik) untuk kita beriman seketika (iaitu memperbaharui Iman)اجلس بنا نؤمن ساعة