Make your own free website on Tripod.com

REHLAH TARBAWIYYAH

Artikel

HOME | Mimbar | Siapa | Contact | Artikel | Tafsir | Tetamu | FOKUS

Artikel-artikel dalam ruangan ini adalah untuk sebaran umum. Oleh itu segala ulang cetak dibenarkan. Semoga Allah memberi ganjaran yang baik kepada kita atas penyebaran bahan-bahan ini.

KEMENANGAN  MUHAMMAD IBN ABDULLAH  (S.A.W)

20 Sept 2005

 

Kalimah Allahu Akbar telah bergema dan berkumandang di setiap penjuru bumi Allah s.w.t ini, siang dan malam.  Diulang-ulang oleh jutaan manusia, gema suara itu terus menerus sepanjang empat belas abad yang lalu tanpa berhenti dan tidak pula mati.  Walaupun pemerintahan negara silih berganti dan keadaan alam sekitar selalu berubah, tetapi laungan kalimah Allahu Akbar tidak akan bertukar ganti.  Bergemanya laungan abadi berkenaan menjadi bukti  yang nyata bagi kemenangan Muhammad ibn Abdullah s.a.w.

 

Kemenangan itu bukanlah dimaksudkan dengan kemenangan dalam pertempuran di medan, juga bukan dimaksudkan dengan kemenangan membuka Makkah dan menyatukan seluruh  Semenanjung Arab di bawah pemerintahan Islam.  Juga bukan dimaksudkan kemenangan menundukkan dua kerajaan yang besar pada masa itu iaitu Rom dan Farsi, tetapi kemenangan yang dimaksudkan ini adalah kemenangan yang bersifat sejagat, menjiwai penyusunan hidup ini,  merubah perjalanan sejarah dan memberi nilai-nilai murni dan tetap (thabat) sepanjang zaman.

 

Sesungguhnya  kemenangan Rasulullah s.a.w itu tidak lenyap walaupun kadang-kadang berlaku kelemahan yang mendatang ke atas umat Islam.  Nilainya tidak hilang meskipun timbul berbagai aliran baru (dengan nama-nama baru) serta berbagai falsafah moden, cahayanya tidak padam dengan penguasaan satu golongan ke atas golongan yang lain.   Ini disebabkan oleh asasnya yang amat kukuh bertapak di alam ini, menjiwai hati manusia dan menjelma dalam berbagai lapangan hidup ini.

 

Pada hakikatnya kemenangan itu telah membawa  bukti-bukti yang nyata tanpa memerlukan bukti-bukti yang lain lagi, cuma apa yang perlu bagi kita ialah mengkaji dan menyelidik bagi mengetahui faktor-faktor kemenangannya serta jalan yang telah dilalui baginda.

 

Tidak syak lagi bahawa Allah s.w.t menghendaki kemenangan bagi Nabi Muhammad s.a.w serta menghendaki  Deen Islam itu menguasai alam ini.  Bagaimanapun Allah s.w.t tidak memberi kemenangan dengan begitu  mudah sekali,  Allah s.w.t tidak menjadikannya seperti ‘mukjizat’  tanpa memerlukan mujahadah serta jalan yang perlu diikuti oleh manusia.  Kita lihat di dalam seerah bahawa Allah s.w.t   menjadikan kemenangan itu sebagai hasil tabii dari Jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda,  serta natijah yang selayaknya dari pengorbanan mereka.

 

Sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana Rasulullah s.a.w mencapai kemenangan, serta bagaimana Islam berjaya, maka hendaklah ia mempelajari serta meneliti akan keperibadian Rasulullah s.a.w,  tindakannya,  perjalanan hidupnya (sirahnya)  serta jihadnya semoga dia dapat memahami bahawa jalan kemenangan/kejayaan itu sudah tersedia dan terbentang serta faktor-faktornya telah sedia wujud.  Sesiapa juga inginkan kemenangan walau di zaman mana dan di mana tempat ia berada, oleh itu hendaklah ia mengikut contoh-contoh yang telah dilalui oleh Rasulullah  s.a.w.

 

Terdapat tiga nilai asasi kejayaan Muhammad ibni Abdullah  s.a.w :

 

Pertama:  Kejayaan Peribadi  Baginda Rasulullah s.a.w sendiri   -  ketika mana orang-orang kafir Quraisy meminta bapa saudaranya ( Abu Talib ) supaya menahan baginda daripada bercakap mengenai tuhan-tuhan mereka, mereka telah membuat berbagai tawaran kepadanya, sekiranya baginda  mahukan hartabenda maka mereka akan berikannya, jika baginda  inginkan pangkat maka mereka akan mengangkatnya menjadi raja dan apa sahaja yang dikehendaki olehnya maka mereka akan berikan semuanya.   Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berjaya mengetuk  pendengaran mereka dan pendengaran dunia umumnya di sepanjang zaman dengan sumpahnya yang abadi yang terbit dari keimanan dan keyakinannya,  sumpah berkenaan membawa maksud :

 

“Demi Allah !,  sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan ini (perintah Allah),  maka sekali-kali aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah buktikan kejayaannya ataupun aku  mati

 

Sungguh hebat, Inilah gambaran tindakan yang dicetuskan oleh  Iman sejati, bukan terbit dari khayalan manusia semata.

 

 

Kedua: Kejayaan Rasulullah s.a.w Membentuk Jamaah Sahabat Ridhwanullahialaihim; jamaah yang merealisasikan iman mereka dalam  gerak kehidupan mereka.  Baginda berjaya membentuk/mencorak mereka mengikut corak al Quran sehingga jadilah mereka itu ibarat al Quran yang bergerak di atas muka bumi ini.  Baginda berjaya menjadikan  mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.

 

Sebenarnya  nas-nas (ayat-ayat) al Quran sahaja tidak bermakna sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip  sahaja tidak hidup melainkan dijelmakan dalam tingkahlaku dan amalan hidup ini.  Kita dapati Rasulullah s.a.w meletakkan haluan utamanya ialah:  membentuk rijal/pendokong-pendokong Islam, tidak semata-mata menyampaikan peringatan-peringatan sahaja. Baginda mendidik jiwa mereka, tidak semata-mata berkhutbah sahaja.  Baginda membina  Ummah bukan membangunkan falsafah.

 

Adapun  Fikrah Islam itu telah terkandung di dalam al Quran al Karim, maka peranan Rasulullah s.a.w ialah membentuk Rijal yang mendokong fikrah tersebut sehingga dapat disaksikannya dengan mata kasar.  Apabila rijal yang sudah terbentuk keperibadian mereka itu bergerak menjalankan aktiviti mereka di atas mukabumi ini, maka manusia lain melihat suatu keperibadian yang unik yang tidak pernah dilihat sebelum itu kerana keperibadian mereka itu adalah terjemahan atau jelmaan dari fikrah Islam yang unik, yang tidak pernah dikenali dalam sejarah manusia sebelum itu.  Ketika itu barulah manusia lain yakin dengan fikrah Islam kerana mereka telah yakin kepada rijal atau pendokong-pendokong fikrah itu yang telah menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka,  juga barulah mereka  mahu mengambil contoh tauladan serta menuruti jalan yang telah dilalui oleh rijal itu.

 

Fikrah Islam sahaja tidak akan hidup melainkan apabila fikrah itu dijelmakan di dalam kehidupan manusia seluruhnya.  Dalam hal ini kita dapati Rasulullah s.a.w telah berjaya membentuk atau mendidik  sehingga fikrah Islam itu menjadi manusia yang berfikrah.  Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah baginda dberjaya mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al Quran, tetapi  bukanlah dicetak  dengan dakwat atas lembaran-lembaran kertas, hanya sanya baginda mencetak beribu-ribu naskah al Quran itu dengan Nur Iman di ats lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia.  Generasi al Quran itulah yang dikeluarkan  ke tengah-tengah masyarakat manusia, menjelas dan menghuraikan dengan perbuatan serta amalan mengenai apakah Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi utusan Allah s.w.t itu.

 

Ketiga:  Kejayaan Rasulullah s.a.w Ketikamana Baginda Menjadikan Syariat Islam Sebagai Sistem Yang Memerintah Hidup Ini – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dand menentukan nilai-nilai manusia dan benda.

 

Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas  syariat itu  suatu sistem atau peraturan.  Himpunan ‘aqidah dan syariat serta sistem itu maka terbentuklah pokok Islam, tiap-tiap pokok ada akarnya, batangnya dan buahnya (hasilnya), tidak tegak batang dan tidak lahir buahnya tanpa akarnya yang menjunam ke dalam bumi,  tidak bernilai bagi akar yang tidak tumbuh batang pokoknya dan tidak bernilai atau berfaedah pokok yang tidak mengeluarkan hasilnya.

 

Oleh sebab itulah Islam menggesa supaya berhukum dengan syariat Allah s.w.t di dalam hidup ini.  Firman-firman Allah s.w.t menjelaskan perkara ini:

 

Firman Allah SWT;

                           

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi) , yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi  yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendita-pendita mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya.  Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada Ku.  Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat Ku dengan harga yang sedikit.  Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. “

(Surah al Maa-idah : 44)

 

“Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya ( at Taurat ) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung  dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisasnya), maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya.  Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim

(Surah al Maa-idah  : 45)

 

Dan hendaklah orang-orang yang  mengikuti Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya.  Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. “

(Surah al Maa-idah : 47)

 

Jika dilaksanakan, maka luputlah dongeng-dongeng yang menganggap bahawa Deen itu terpisan dari daulah (pemerintahan).  Sebenarnya tidak wujud daulah tanpa deen dan tidak ada deen tanpa syariat dan sistem.  Sejak hari pertama tegaknya  Daulah Islamiyyah, maka syariat Islamlah yang  berjalan, memerintah daulah tersebut, pemilik syariat itu ialah Allah s.w.t.  Kerajaan Islam bermula sejak penganut Islam masih kecil bilangan mereka.  Namun mereka telah berjaya mempertahankannya serta mengawalnya.  Kerajaan itu bertapak kukuh di suatu bahagian bumi ini  dibawah  naungan panji-panji Islam.  Di masa itu Islam menjadi sistem hidup bermasyarakat, hubungan antara muslimin dan antarabangsa.  Kemudian Islam berkembang luas dengan membawa ‘aqidah, syariat serta sistemnya di mana sahaja Islam itu bertapak, sesiapa yang suka maka dia boleh menganut Islam  dan sesiapa yang enggan maka tidak ada paksaan ke atasnya.  Bagaimanapun sistem Islam tetap memberi keadilan dan kebaikannya.  Ketika itu berduyun-duyunlah manusia menganut Islam dengan rela hati mereka, benarlah janji Allah  s.w.t  kepada Rasulnya  seperti firman Nya :

 

Firman Allah SWT;

 

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada Nya.  Sesungguhnya  Dia adalah Maha  Penerima Taubat.“

( Surah an Nashr : 1-3)

 

Islam telah berjaya kerana ‘aqidahnya melahirkan syariat dan membangunkan sistem hidup yang memberi ketenteraman kepada manusia dan seluruh  alam ini.  Berjaya  Rasulullah  s.a.w  kerana  baginda melaksanakan syariat Allah s.w.t seperti yang dikehendaki.

 

Inilah nilai-nilai asasi kejayaan Rasulullah s.a.w yang telah diabadikan dalam hidup ini. Kejayaan ini InsyaAllah boleh dimiliki oleh generasi sekarang,  asas panduannya sudah tersedia, hanya memerlukan usaha kita bagi mencapai kejayaan yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada sesiapa yang menolong menegakkan deen Nya.

KESENTIASAAN SEDAR

20 Sept 2005

 

Muqaddimah

 

Kita sedia maklum bahawa jalan dakwah ini jalan yang panjang. Jalan yang penuh duri dan ranjau serta banyak pula hambatan di sepanjang perjalanan. Dan kita juga sedia maklum bahawa kerja-kerja dakwah ini akan menuntut banyak perkara daripada kita; bermula dengan masa lapang dan akhirnya ia akan menuntut nyawa kita.

 

Untuk melalui jalan ini satu perkara dan untuk sampai kehujungnya merupakan satu perkara lain. Untuk memulakan langkah pertama satu perkara dan untuk terus istiqamah di atas jalan ini satu perkara lain. Untuk beramal satu perkara tetapi untuk melaksanakan amal yang baik satu perkara lain. Untuk istiqamah dalam amalan kita satu perkara tetapi untuk ikhlas dalam setiap amalan yang kita kerjakan satu perkara lain.

 

Hanya mereka yang memiliki ciri-ciri tertentu sahaja yang akan kekal di atas jalan yang benar ini.

 

Kita  sebenarnya cukup sedar dengan tanggungjawab Islami yang besar ini; iaitu tanggungjawab   terhadap da'wah  dan  pembentukan harakah. Kita tidak akan  sampai  kepada peringkat  kesedaran masuliyyah yang sebenarnya melainkan  dengan melalui  tau'iyyah dan tarbiyyah. Proses ini sangat  penting  dan memerlukan  masa yang panjang. Proses ini dilalui secara  tabi'i, peringkat  demi  peringkat, bukan secara paksa.    InsyaAllah sampai masanya nanti kita akan lengkapkan diri kita  dengan sifat-sifat mas-ul.

 

Iltizam Dengan Manhaj Tarbiyyah

 

Kita  perlu ikuti manhaj tarbiyyah secara terus  menerus.  Manhaj tarbiyyah  dikira alat tarbiyyah yang berkesan. Ia  sebagai  alat pembentukan  anggota-anggota  jama'ah  selaras  dengan   matlamat utama,  iaitu mendekatkan anggota-anggota dengan  satu  cita-cita besar; iaitu mendaulatkan deen Allah di muka bumi.

 

Kita  rasa tidak syak, bahkan yakin bahawa manhaj  tarbiyyah  memainkan peranan yang berkesan untuk melahirkan aqidah yang betul, membentuk kesatuan fikrah, melahirkan kesatuan tandzim haraki dan bersifat kulli serta matang dalam menghadapi pelbagai perkara dan masalah yang ditempuh para amilin dari masa ke semasa.

 

Menghasilkan Kerja Yang Banyak

 

Kesungguhan  atau  jiddiyyah  sebenar perlu  kita  tingkatkan  di kalangan  kita. Kita  perlu gemblengkan jiddiyyah  ini dengan cara yang sistematik dalam pelbagai bidang dan  keputusan, dalam  pelbagai ilmu dan thaqafah serta dalam pelbagai  kemahiran dan kepakaran. InsyaAllah, di atas dasar jiddiyyah dan  perancangan  yang  baik, kita dapat menghasilkan kerja  yang  banyak  dan amal-amal yang dapat membina ummah Islamiyyah.

 

Sentiasa Sedar

 

Jiddiyyah  perlu  berada dalam keadaan yang  sentiasa  sedar  dan berjaga-jaga. Keadaan ini akan memberikan peluang sebanyak  mungkin untuk mempergunakan kemampuan-kemampuan para da'i dan murabbi bagi mengisi keperluan-keperluan, hajat-hajat dan peluang-peluang tanpa berlaku pengabaian.

 

Untuk sampai kepada maksud atau tuntutan tersebut maka kita perlu elakkan  daripada sifat merasai enteng terhadap  kemampuan-kemampuan individu-individu dalam apa jua bentuk.  Kemampuan-kemampuan itu perlu dibimbing, dipandu dan dimajukan.

 

Kita perlu bersifat sentiasa sedar. Syarat kesentiasaan sedar ini ialah  kita  bertindak terhadap sesuatu  tanpa  keterlaluan  atau ghulu. Kita tidak bertindak terhadap sesuatu secara melulu.  Kita mesti  bertindak  dengan  berhati-hati.  Bertindak  dengan  penuh pengetahuan, penelitian dan kematangan.

 

 

Sekali  lagi, dinyatakan  bahawa syarat kesentiasaan sedar  ialah bertindak  atau menghadapi sesuatu tidak dengan keterlaluan  atau ghulu.   Sifat ghulu akan membawa kepada rasa cepat penat.

 

Semangat bermusim, semangat kekal

 

Bukanlah makna jiddiyyah itu kita curahkan sepenuh tenaga  kepada sesuatu  projek yang kita rasakan projek itu mesti  dilaksanakan, hanya  berdasarkan  keghairahan atau berdasarkan ilmu  yang  kita ada,  tanpa melihat secara mendalam terhadap keperluan dan  hajat yang sebenar dalam realiti yang kita hadapi sekarang. Sehinggakan kita mengabaikan pula tanggungjawab-tanggungjawab yang lain.

 

Oleh  itu kita perlu ada sifat kesentiasaan (istimrariah)  sedar. Kalau  tidak  ada sifat istimrariah ini, maka kita  akan  terbawa kepada cepat penat dalam perjuangan dan dalam 'amal tandzimi.

 

Rasulullah S.A.W. bersabda :

 

سد دوا وقا ر بوا  واعلموا أنه  لن يد خل أحدكم  عمله الجنة  وأن أحب الأ عمل ل الي الله أدومها وان قل

 

(yang bermaksud):   "Berpegang teguhlah dengan (amal)  yang benar (dengan tidak melebih-lebihkan dan tidak pula meringan-ringankan)  dan buatlah sesuatu (amal) yang lebih hampir kepada yang sempurna (jika kamu tidak mampu melakukan yang sempurna itu) dan ketahuilah amalan seorang dari kamu tidak dapat memasukkannya  ke dalam syurga dan (ketahuilah) bahawa amal yang paling disukai Allah ialah (amal) yang paling berkekalan sekalipun sedikit

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

 

Kata Rafi'i, "Semangat kerja yang berkekalan dapat dijaga  meskipun  ia menghadapi kesukaran. Tetapi kalau semangat yang  meluap-luap  pada tertentu sahaja (bila berjumpa rangsangan yang  sesuai sahaja barulah bersemangat), maka semangat seperti ini tidak akan dapat  dibendung  untuk terus iltizam dan  intidzam  dengan  amal tanzimi (jama'ah)".

 

Mengukur Kemampuan Dahulu

 

Janganlah  semangat  itu hingga menimbulkan  bebanan  yang  tidak mampu  dipikul. Hingga sampai ke peringkat  menghadapi  kesusahan dan  kesukaran yang tidak setara dengan kemampuan.  Jika  terjadi sedemikian,  maka seseorang itu akan cepat rasa bosan.  Oleh  itu kita  perlulah faham akan kemampuan yang ada pada sahabat dan  di peringkat  mana dia berada, agar dia dapat  menyempurnakan  tugas yang diberikan kepadanya dengan penuh kepuasan hatinya dan ikhlas pula kepada Allah S.W.T.

 

Kita Perlu Programkan

 

Oleh itu kita perlu bentukkan semangat yang berterusan.  Semangat istimrariah.  Agar  dengan semangat  ini,  kita boleh berjalan dengan baik dan melahirkan natijah. Juga supaya sahabat-sahabat positif dengan tindakan walaupun berat.

 

Kita   perlu  rencanakan,  susunkan  dan  programkan  kemampuan-kemampuan  yang ada pada kita. Kita  perlu programkan kemampuan, jiddiyyah dan kemahiran-kemahiran yang ada.  InsyaAllah  setiap  orang ada kemahiran, kemampuan dan ilmu  yang  boleh disumbangkan.  Kita  hendaklah padukan  dan  gemblengkan  tenaga-tenaga  itu untuk menjadi tenaga kerja-tenaga kerja  yang  bergerak dalam tandzim. Apa yang ada, yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kita manfa'atkan untuk matlamat Allah S.W.T., mencari  ketinggian di sisi-Nya dan kebahgiaan di akhirat.

 

Semangat Yang Seimbang

 

Apabila  kita  memperkatakan kita tidak mahu semangat  yang  dulu, tidak  pula  bermakna  semangat itu terlalu  senang  dan  longgar hingga tiada taklif. Semangat yang `relax' hingga membawa  kepada tenaga menurun, fikiran menurun, kesungguhan menurun dan  segala-galanya menurun. Oleh itu imbangkan semangat seseorang dan  bimbingkannya meningkat bersama-sama perimbangan itu.

 

Kita  akan dapat memahami kemampuan, kemahiran dan  bidang-bidang yang dia miliki anggota melalui tarbiyyah halaqah dan usrah  yang berjalan  dengan  baik.  Latar belakang dan  sifat-sifat  anggota diikuti  betul-betul. Kita tidak boleh memandang sepi dan  enteng dengan  kemampuan-kemampuannya. Dengan sikap yang  sebegini,  InsyaAllah,  kita  dapat  gemblengkan  kemampuan-kemampuan  anggota secara baik dan positif untuk  dicurahkan ke dalam 'amal  jama'i.

 

 

Kita  tidak  boleh  terlalu bersikap senang  dan  `relax'  hingga membawa kepada cuai dan malas.

 

Jiddiyyah Perlukan  Ta'ruf Dan Ukhuwwah

 

Jiddiyyah  tanpa ta'ruf dan thiqah akan menyebabkan jiddiyah  itu tidak bertahan lama dan akan menurun. Oleh itu letakkanlah keyakinan  dan  kepercayaan  kepada  sahabat-sahabat. 

 

 

Hendaklah  kita  melahirkan ukhuwwah dan  ta'ruf  dalam  ertikatasebenar. Hasan Al Banna meletakkan at Ta'ruf sebagai rukun  usrah yang pertama. Kita perlu benar-benar berta'ruf hingga lahir kasih  sayang  dengan  roh Allah S.W.T. atau dengan  keimanan.  Rasailah sungguh-sungguh erti ukhuwwah.  Elakkan daripada apa jua  keadaan yang  boleh mengeruhkan kejernihan hubungan antara  sahabat-sahabat.  Sentiasalah mengamalkan ayat-ayat Allah S.W.T. dan  hadith-hadith Rasulullah S.A.W. dalam konteks ukhuwwah.

 

Firman Allah S.W.T. :

 

" Dan  berpeganglah  kamu semua kepada tali Allah,  dan  janganlah kamu  bercerai  berai, dan ingatlah akan  nikmat  Allah  kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan  antara  hatimu, lalu menjadilah kamu  kerana  nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di  tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu  mendapat petunjuk".

(Surah  Ali Imran : 103)

 

Berpecah  belah bererti ikhwanus-syayaathin. Berpecah  belah  itu daripada  syaithan.  Janganlah mendekati  kepada  perkara-perkara yang  boleh  menjejaskan  ukhuwwah sesama kita.  Kalau  ada  rasa sesuatu yang menjejaskan ukhuwwah, maka kita kenalilah bahawa itu adalah bisikan syaithan. Syaithan sedang cuba masuk mengacau  dan memecah  belahkan perpaduan dan ukhuwwah. Kita fahami  akan  ayat Allah S.W.T. :

 

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

 ( Surah  Al Hujurat : 10)

 

 

Rasulullah S.A.W. bersabda :

 

المؤ من للمؤمن كا لبنيان يشد بعضه بعضا

 

(Bermaksud) : “ Seorang mukmin dengan mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, sebahagiannya mengukuhkan bahagian yang lain

 

Bukanlah  ukhuwwah itu sebagai slogan sahaja,  yang  diperkatakan tanpa terlaksana dalam realiti hidup.

 

Ukhuwwah Menurut Hasan Al Banna

 

Hasan Al Banna ada menegaskan bahawa terdapat jurang yang jauh di antara hakikat ukhuwwah yang ada pada sahabat-sahabat  Rasulullah dengan  generasi-generasi  yang lain. Walaupun  sedemikian,  kita tetap  berusaha agar hakikat ukhuwwah yang lahir  dalam  generasi pertama itu dapat menjadi kenyataan dalam realiti kini.

 

Hassan Al Banna meletakkan ukhuwwah sebagai salah daripada  rukun bai'ah.  Menurut Hasan Al Banna yang dimaksudkan dengan  ukhuwwah ialah  ikatan hati dan roh yang diikatkan dengan  ikatan  aqidah. Aqidahlah satu-satunya ikatan yang paling kukuh dan paling bermutu. Ukhuwwah yang sebenarnya ialah ukhuwwah iman.

 

"Hanyasanya orang mukmin itu bersaudara". Hakikat ini  perlulah lahir betul-betul. Dan pecah belah adalah saudara kepada  kekufuran. Ukhuwwah iman inilah akan lahir kekuatan wehdah atau  kekuatan penyatuan. Tiada wehdah tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling  minima wujud dengan adanya salamatul sadr.  Kasih  sayang maksima ialah dengan mengutamakan sahabat.

 

Barang siapa yang dapat mengelakkan kebakhilan diri atau  mementingkan diri, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

 

Amilin yang sebenarnya akan melihat  saudaranya lebih penting daripada dirinya sendiri. Padanya, kiranya  dia tidak  bersama rakan-rakan seperjuangannya maka dia tidak boleh  bersama-sama dengan orang lain.

 

Tidak seharusnya ada sekatan atau penghalang dalam hubungan antara para amilin amal Islami. Kita bersatu tidak ada kepentingan lain kecuali kepentingan Islam, lillah fillah. Kita  bekerjasama  kerana  matlamat yang sama dan berdasarkan aqidah yang sama.  Persahabatan  sebegini bersih.  Jangan kita kotorkan ia, demi mengejar matlamat  mardhatillah.

MENGAMBIL DIDIKAN DARIPADA SUNNAH DAN SIRAH

20 Sept 2005

 

Kita tidak bermaksud untuk menceritakan sejarah Rasulullah s.a.w sejak hari lahir baginda hingga kewafatan baginda.  Cuma kita hendak mengetahui bagaimana caranya kita hendak mengambil didikan dari perjalanan hidup Rasulullah s.a.w bersama Madrasah baginda.

 

Persoalan yang besar yang kita hadapi ialah persoalan amali (praktik) nya segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w di dalam seluruh bidang kehidupan kita.

 

Fikrah Islam atau ajaran Islam telah terdapat di dalam al Quran al Karim dan as Sunnah an Nabawiyyah serta sirah Rasulullah s.a.w.  Ajaran tersebut tidak membawa ertinya sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip sahaja tidak hidup melainkan diterapkan  di dalam amalan hidup ini.  Kerana itu kita dapati dalam sirah Rasulullah s.a.w, baginda meletakkan haluan utama baginda  dalam membentuk rijal (para pendokong) Islam dan tidak semata-mata berkhutbah .  Baginda mendidik Jamaah Sahabah.  Baginda membina ummah bukan membangunkan falsafah.  Baginda berjaya dalam mendidik, sehingga Generasi Sahabat itu lahir dalam bentuk amali (praktik) hidup.  Generasi yang telah terdidik itulah yang   dikeluarkan   ke tengah  masyarakat   manusia   yang   menghuraikan    dengan   amalan (perbuatan) mereka Islam yang sebenarnya.

 

Islam tidak hanya mengemukakan teori semata-mata dalam membentuk keperibadian Muslim tetapi ia membawa mereka ke jalan yang praktik (amali).  Rasulullah s.a.w tidak semata-mata mendidik atau mengasuh para sahabat baginda di rumah Arqam bin Abi  Al Arqam, tetapi baginda membawa jamaah sahabat itu keluar bersama-sama baginda mencabar segala fikiran dan kepercayaan masyarakat ketika itu.  Akhirnya  mereka menghadapi tentangan hebat ari masyarakat yang mengamalkan cara hidup Jahiliyyah.

 

Tujuan utama,  yang pertama dan terakhir mereka ialah untuk memberitahu masyarakat umum bahawa pengabdian diri hanya kepada  Allah s.w.t semata-mata, tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan pemerintahan Nya sahaja.  Dunia ini menjadi kerdil pada pandangan mereka.  Mereka tidak terpedaya dengan keindahan dan kemewahan dunia.  Hinggakan pihak musuh menganggap bahawa mereka adalah satu kaum yang lebih cintakan mati daripada hidup dan lebih suka kepada sifat merendah diri daripada angkuh dan sombong.  Mereka tidak tamak kepada kemewahan duniawi.

 

Sebagai contohnya, telah disebut di dalam sirah bahawa Mus’ab bin ‘Umair adalah anak tunggal kepada ibunya  yang mempunyai kekayaan dan kedudukan tinggi.  Setiap anak gadis berangan-angan hendak menjadi isteri atau sebagai teman hidup beliau.  Setelah Mus’ab memeluk Islam, ibunya telah mengugut untuk mengharamkan beliau dari mengambil harta kekayaannya, tetapi ugutan itu tidak dihiraukan.  Kemudian ibunya bersumpah untuk tidak menjamah segala makanan selagi Mus’ab tidak meninggalkan ajaran Islam yang telah menjadi anutannya.  Namun keImanan dan keazaman Mus’ab kian bertambah  kuat seraya berkata kepada ibunya : “Demi Allah Wahai ibuku, sekiranya ibu mempunyai seratus nyawa yang keluar daripada ibu satu demi satu, aku tetap tidak akan meninggalkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w”

 

Sirah Hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah al Munawwarah adalah satu lagi siri dari siri pembentukan perwatakan dan keperibadian Muslim secara praktik dalam kehidupan Ummah Islamiyyah.  Mereka terpaksa meninggalkan harta benda dan kampung halaman mereka.  Kalau difikirkan sepintas lalu sahaja atau dipandang pada zahir semata-mata, bererti akan tergendala segala kerja, rugilah perniagaan dan terpisahlah dari sanak saudara serta keluarga.  Namun demikian orang-orang Islam yang menyahut seruan Hijrah itu telah sanggup mengorbankan segala kepentingan dan harta benda yang disayangi demi mengikut Rasulullah s.a.w dan demi menunaikan perintah Allah s.w.t.

 

Diriwayatkan di dalam sirah bahawa Suhaib ar Rumi ketika di dalam perjalanan ke Madinah, telah disekat oleh beberapa orang kafir Quraisy.  Mereka berkata kepadanya :  Sesungguhnya engkau dahulu  telah datang kepada kami (ke Makkah) selaku seorang yang miskin.  Kemudian  harta kamu bertambah di tempat kami ini sehingga engkau menjadi kaya raya kini.  Kemudian engkau hendak membawa bersama-sama hartamu pergi dari sini.  Demi sesungguhnya ini tidak boleh.  Maka ditanya oleh Suhaib : Apa kata jika aku pulangkan harta bendaku ini kepada kamu semua, Adakah kamu membenarkan aku pergi ?.  Jawab mereka :  Ya. Maka kata Suhaib :  Sekarang ambillah harta bendaku ini untuk kamu.  Apabila berita peristiwa ini telah sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w, maka baginda bersabda yang bermaksud : Telah beruntunglah  Suhaib, telah beruntunglah Suhaib.

 

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah menggambarkan kepada  kita satu Tarbiyyah ‘Amaliyyah (didikan yang praktis) yang lahir daripada didikan di Madrasah Rasulullah s.a.w.

 

Bagi melahirkan natijah-natijah amali Islam tersebut maka perlu kepada satu keyakinan (keImanan) yang mendalam  terhadap  Rasulullah  s.a.w  dan  apa   yang   dibawa oleh baginda (disamping keImanan kepada Allah s.w.t). Ucapan dua kalimah syahadah  itu tidak semata-mata pengakuan dibibir sahaja.  Bahkan mesti lahir daripada hati yang yakin dan sedar.  Sebenarnya ucapan dua kalimah syahadah itu adalah Bai’ah (janji setia kita bahawa) Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah s.w.t.

 

Perlu ada keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta alam, Penggubal undang-undang, peraturan-peraturan, syar’iat.  SistemNya sahaja yang perlu dipatuhi dan kepadaNya  sahaja perlu diperhambakan.  Perlu meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah diutuskan oleh Allah s.w.t bagi melaksanakan perintah-perintah Nya, memimpin seluruh manusia ini menurut arahan-arahan  Allah s.w.t.  Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu menjadi contoh yang baik serta model utama bagi seluruh alam ini, pimpinan dan sistem  yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu bukan rekaan  menurut hawa nafsu tetapi mendapat pertunjuk Allah s.w.t.  Firman Allah s.w.t :-

 

dan tiadalah yang diucapkan itu (al Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya.  Ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”

(Surah an Najm : 3-4)

 

Banyak ayat-ayat al Quran al Karim yang memerintahkan kita dan para Mu’minin agar mematuhi dan mentaati Rasulullah s.a.w , sebagai natijah daripada ikrar ketaatan kita kepada baginda.  Antara firman-firman Allah s.w.t :-

 

“Katakanlah : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.  Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah ali ‘Imran : 31)

 

Barangsiapa yuang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.  Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak m engutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.”

(Surah an Nisaa’ : 80)

 

Apa sahaja harta rampasan (fa-I) yang diberikan Allah kepada Rasul Nya yang  berasas dari penduduk kota-kota  maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.  Apa yang diberikan  Rasul kepadamu maka terimalah dia.  Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah  dan bertaqwalah kepada Allah.  Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman Nya.”

(Surah al Hasyr : 7)

 

Setiap Mu’min diwajibkan mencintai Rasulullah s.a.w sehingga baginda pernah bersabda yang maksudnya;

 

Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga ia menjadikan aku lebih dicintai dari dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya”

 

Menurut hadith ini ternyata bahawa cinta yang sebenarnya terletak kepada keikhlasan mematuhi apa yang disukai oleh Rasulullah s.a.w dan mematuhi apa yang tidak disukai oleh baginda.

 

Begitu juga kita, orang Mu’min , diwajibkan  menghormati Rasulullah s.a.w seperti yang diisyaratkan olah Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim :

 

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).  Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih. 

(Surah an Nuur : 63)

 

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul Nya dan bertaqwalah kepada Allah.  Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi  Maha Mengetahui.  Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari.  Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah ,  mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertaqwa.  Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.   

(Surah al Hujuraat : 1-3)

 

Menghormati Rasulullah s.a.w bukan sahaja semasa ada hayat baginda, bahkan selepas wafat baginda juga kita mesti bersopan dengan Rasulullah s.a.w.  Kerana itu dikala mana kita membaca atau mendengar hadith-hadith Rasulullah s.a.w, kita wajib meyakini hadith atau sunnah tersebut.  Kita dikehendaki mendengar dengan cara bersungguh-sungguh, penuh perhatian, penuh kefahaman serta bersedia untuk mengamalkan dan melaksanakannya sepertimana arahan-arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

 

Hendaklah kita menyedari bahawa al Quran al Karim dan as Sunnah Rasulullah s.a.w itu mempunyai peranan untuk mengawal, menjaga, memelihara fitrah, kesucian manusia ciptaan Allah s.w.t.   Oleh itu kita wajib membimbing dan mendidik fitrah kita supaya tetap dalam keadaan suci dan bersih (Fitrah Salimah).   Caranya ialah dididik dan disirami dengan ajaran al Quran al Karim dan dibajai dengan as Sunnah an Nabawiyyah Rasulullah s.a.w.   Firman Allah s.w.t :-

 

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

(Surah al Ahzab : 21)

KITA TIDAK MAHU NATIJAH YANG CETEK

20 Sept 2005

 

Tuntutan yang utama dan pertama tarbiyyah ke atas kita ialah penyerahan jiwa, diri dan fikiran kita sepenuhnya kepada Allah s.w.t.  Dengan wujudnya tuntutan utama dan pertama ini, barulah tarbiyyah dapat berjalan dan matlamatnya dapat dicapai, Insya Allah.  Tetapi jika kita tiada penyerahan  yang total maka akan lahirlah natijah-natijah yang cetek, yang longgar dan bermusim-musim atau sekadar mengikut suasana semata-mata.

 

Hal ini perlu diperhatikan dengan betul-betul kerana kita tidak mahu natijah yang cetek.  Jika penyerahan itu masih belum menyeluruh, masih ada bahagian-bahagian yang tertentu yang masih belum diserahkan atau enggan diserahkan, tentulah natijahnya juga  tidak akan menyeluruh, tidak kekal atau sebati dengan individu itu dan sentiasa ada cacat celanya.  Inilah  yang kita cuba elakkan.

 

Amal Islami yang merupakan natijah  yang lahir dari seseorang itu tertolak jika ianya tidak terbit daripada pemancarnya yang betul.  Pemancar yang kita maksudkan di sini ialah Iman itu sendiri.  Iman yang dibina melalui pendidikan Islam yang betul, bersumberkan kepada sumber yang sah iaitu al Quran al Karim dan as Sunnah an Nabawiyyah.  Dalam sebuah hadith diceritakan bagaimana natijah yang nampak seolah-olah Islamik, tetapi sebenarnya tidak Islamik, telah ditolak oleh Allah  s.w.t dan pelaku-pelakunya telah disiksa oleh Allah s.w.t.  Abu Hurairah r.a telah berkata bahawa saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

 

“Pertama  perkara yang akan diputuskan di Hari Qiamat ialah seorang yang mati syahid.  Maka dihadapkan dan ditanyakan beberapa nikmat Tuhan.  Setelah diakui maka di tanya : apakah perbuatanmu terhadap nikmat itu ?.  Jawabnya “  Saya  telah  berjuang untuk Mu sehinggalah mati syahid .  Jawab Tuhan :  Dusta engkau, tetapi engkau berjuang supaya dikenali sebagai pahlawan dan keberanianmu dan telahpun terkenal demikian.  Kemudian diperintahkan supaya diseretkan ke dalam api neraka.  Kedua seorang pelajar yang telah pandai membaca serta mengajar al Quran. Ketika dihadapkan ditanya tentang nikmat-nikmat Tuhan.  Setelah  mengakuinya, ditanya : Apakah perbuatanmu terhadap semua itu ?.  Jawabnya :  Saya telah mempelajari ilmu dan mengajarnya serta membaca al Quran untuk Mu.  Jawab Tuhan :  Dusta engkau, tetapi engkau belajar untuk dikenali sebagai orang alim dan dibaca untuk dikenali sebagai qari dan telah terkenal demikian.  Kemudian disuruh diseret mukanya dan dilemparkan ke dalam neraka.  Ketiga seorang  hartawan yang memiliki berbagai macam kekayaan.  Ketika dihadapkan ditanya berbagai nikmat Tuhan kepadanya dan ketika telah mengakuinya maka ditanya :  Apakah kerja kamu dalam semua itu?. Jawabnya : Tiada suatu jalanpun yang Engkau anjurkan agar aku membelanjakannya, melainkan aku belanja semata-mata untuk Mu.  Jawab Tuhan : Dusta engkau, tetapi engkau berbuat demikian untuk dikenali sebagai dermawan.  Dan telah dikenali demikian.  Kemudian diperintahkan supaya diseret pada mukanya dan dilemparkan ke dalam neraka.”

[Riwayat Muslim]

 

Kita lihat dari hadith tersebut bagaimana amalan-amalan itu dinilai dari hati atau dinilai menurut apa yang terdapat di dalam hati.  Seseorang yang mati syahid itu sungguh tinggi nilaian Allah s.w.t, tetapi jika ia berjuang untuk mencari kemashyuran, maka tidaklah ia dapatinya melainkan azab Allah s.w.t di Hari Akhirat kelak.  Di situlah kejayaan atau kegagalan dalam kehidupan seseorang itu ditentukan.  Walaupun di dunia ia  mendapat kemegahan  yang dituntutnya itu, tetapi ia tidak dapat menipu Allah s.w.t  dan ia akan dibalas seadil-adilnya, tanpa sedikit kezaliman pun.

 

Kita boleh melakukan amalan-amalan  yang soleh tetapi  mesti ditentukan dari dorongan  mana yang mendorong kita.  Kita boleh mendakwa bahawa kita berubudiyyah kepada  Allah s.w.t, tetapi apa yang terdapat di dalam hati kita diketahui oleh Allahs.w.t.  Apakah yang tersembunyi di dalamnya.  Begitu juga orang-orang lyang belajar ilmu untuk digelar sebagai orang alim atau orang yang membaca al Quran untuk dikenali sebagai al Qari, mereka ini akan tertolak.  Kita takut hal ini berlaku kepada kita.  Kita minta pertolongan Allah s.w.t dari bentuk penyelewengan ini.  Kita risau kalau-kalau kita melakukan  amalan yang besar, tetapi asasnya tidak betul dan penyerahannya juga tidak betul.  Begitu juga dengan hartawan-hartawan yang mendakwa menderma di jalan  Allah s.w.t, tetapi sebenarnya menderma luntuk mendapat gelaran hartawan, maka itu juga tertolak.

 

Penyerahan hati kepada Allah s.w.t perlu dalam segala hal, kerana kita sebagai hamba Allah s.w.t terikat dengan sistem Nya, nilaian Nya, akhlak yang dikehendaki Nya dan juga Deen Nya.  Mana-mana bahagian yang  masih belum diserahkan itu maka hendaklah segera diserahkan.  Oleh yang demikian perlulah kita kikiskan karat-karat, daki-daki dan tinggalan-tinggalan lama jahiliyyah dan didikan yang sekian lama yang kita telah didik dengannya sebelum kita mendapat kesedaran Islam yang hakiki, dengan taufiq dan hidayah Allah s.w.t jua.

 

Dari hadith tersebut juga dapat juga difahami dan diketahui bahawa kita tidak boleh tertipu dan menganggap bahawa kita telah memiliki persediaan yang cukup dari berbagai segi terutamanya dari segi kejiwaan.  Mereka melakukan amalan-amalan yang tinggi nilainya, tetapi lantaran jiwa belum bersedia, belum bersih, mereka terjerumus  ke dalam lembah menunjuk-nunjuk, riya’ dan sebagainya.

 

Titik tolak mesti betul maka barulah akan lahir natijah yang betul.  Sebaliknya titik tolak yang tidak betul akan melahirkan sesuatu yang tidak betul.  Firman Allah s.w.t  :-

 

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan keta’atan kepada Nya dalam ( menjalankan ) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus”

( Surah al Bayyinah : 5 )

 

Kita tidak boleh lari dari bergerak bersama-sama sahabat kita yang lain yang sedar dan insaf, di dalam barisan yang tersusun rapi.  Hanya dengan inilah baru kedapatan “Berpesan-pesan dengan kebenaran  serta berpesan-pesan dengan kesabaran

 

Di sinilah kita sama-sama tegur menegur, nasihat menasihati dan lengkap melengkapi.  Disinilah kita hendak membina dan membentuk keperibadian Islam dalam setiap ahli kita  dan disinilah kita hendak membuang jahiliyyah dari dalam ldiri kita.  Di sinilah kita hendak curahkan kemampuan, tenaga, masa dan wang ringgit kita.  Di sinilah sebenarnya medan kita.  Di sinilah hati-hati kita patuh berkumpul, bukannya dalam kelompok yang amat berbeza dengan kita, kelompok yang hanya  bermatlamatkan dunia semata-mata atau kelompok yang tidak bermatlamatkan Allah s.w.t.

اجلس بنا نؤمن ساعة

Para mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal soleh dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.
 
Oleh itu menjadi satu keperluan untuk kita duduk bersama di dalam suasana tarbawi (yang mendidik) untuk kita beriman seketika (iaitu memperbaharui Iman)اجلس بنا نؤمن ساعة